Ada Apa Dengan RAUDHAH?

19 Disember 2008 at 12:18 | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen

logo-raudhah

Rumah Upayadaya dan Harapan ar-Rahman (RAUDHAH) adalah sebuah rumah transit yang mensasarkan kepada kumpulan remaja dan wanita bermasalah yang diselenggara oleh Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dan Sekretariat Dakwah Pulau Pinang. Terletak di sebuah tanah amal di Seberang Perai, Pulau Pinang, RAUDHAH diharap dapat menjadi rumah singgah (transit) kepada pelbagai lapisan masyarakat Muslim yang berhasrat mengubah nasib hidup mereka dan menjadikan Islam sebagai panduan dan jalan hidup baru. RAUDHAH yang mempunyai maksud taman cuba membawa konsep ketenangan dengan menekankan ilmu dan kerohanian sebagai faktor makhraj (مخرج) yakni jalan keluar atau jalan perubahan. Pelatih akan mengikuti program ‘uzlah (عزلة) dan tazkiyah (تزكية) yakni penyucian dan pendidikan selama 6-9 bulan di pusat ini.

Jaringan RAUDHAH sepanjang 10 tahun terlibat dalam menangani permasalahan sosial meletakkan harapan agar RAUDHAH dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi peluang kepada mereka yang insaf dan ingin pulang ke pangkal jalan iaitu fitrah (فطرة). RAUDHAH mempunyai penyertaan yang sangat terhad untuk setiap kemasukan. Anda atau keluarga yang memerlukan bantuan RAUDHAH dalam mencari jalan pulang diminta menghubungi sekretariat perhubungan berikut. Bagi mereka yang berhasrat memberi sumbangan amatlah dialu-alukan. RAUDHAH dan jaringan RAUDHAH juga menyediakan program latihan (LANDAS), kaunseling (percuma) dan program pendidikan dan kesedaran bagi pihak-pihak yang memerlukan. Kami juga memerlukan sukarelawan, tenaga pengajar (agama, akademik asas dan kemahiran hidup), aktivis dan kaunselor yang dapat membantu kami seadanya.

Pandangan dan suara hati anda boleh disalurkan di sini.

Semoga usaha kecil ini diberkati Allah. Doakan kami.

Wanita : Jangan Mudah Terpedaya Dengan Lelaki

23 Julai 2010 at 03:00 | Dikirim dalam Isu semasa, Media, Sosial | Tinggalkan komen


KOTA BHARU: Gadis yang mayatnya ditemui terikat pada sebatang pokok di tebing sungai dalam Estet Sungai Bagan dekat Machang Selasa lalu, dikesan turut dirogol sebelum dibunuh penyerangnya.

Susulan kejadian itu, Polis Kelantan mengenal pasti seorang lelaki sebagai suspek yang disyaki membunuh Norilia Nabila Rosnata, 19, yang kali terakhir dilaporkan menemui seorang teman lelaki yang dikenalinya.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim, berkata mayat mangsa sudah diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan selepas bedah siasat, kelmarin.

“Hasil bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, gadis terbabit dikesan menjadi mangsa rogol sebelum dia ditikam pada sebelah kiri dadanya,” katanya ketika ditemui selepas majlis lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (PPD) Kota Bharu dekat Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Amir Hamzah yang akan bersara wajib secara rasmi mulai 12 Ogos depan, turut diiringi isterinya, Datin Maimunah Sulaiman. Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar bersama kira-kira 500 anggota dan pegawai polis sekitar Kota Bharu, meraikan pasangan terbabit.

Dalam penemuan kira-kira 1.15 tengah hari di Estet Sungai Bagan dekat Pulai Chondong pada Selasa lalu, mayat mangsa, ditemui seorang penoreh yang ke sungai terbabit untuk menangkap ikan.

Sebelum kejadian itu, mangsa dikatakan keluar dengan seorang kenalan lelaki pada Jumaat lalu tetapi tidak pulang ke rumah serta tidak melawat bapanya yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Dalam perkembangan berasingan, Amir Hamzah membidas sikap ibu bapa di negeri ini yang tidak mempedulikan anak mereka, menjadi punca kepada gejala sosial yang semakin meruncing sekarang.

Sumber : Berita Harian 23 julai 2010

Di Mana Silapnya?

21 Jun 2010 at 04:10 | Dikirim dalam Isu semasa, Media, Sosial | Tinggalkan komen

72 peratus penghidap AIDS/HIV umat Islam

Lebih 70 peratus daripada 87,710 penghidap HIV/AIDS di negara ini adalah daripada kalangan umat Islam, kata Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Zaman Khan.

Justeru katanya, sambutan Hari AIDS Sedunia pada tahun ini akan menekankan kepada usaha-usaha meningkatkan penglibatan umat Islam dalam semua aspek mengenai penyakit itu bagi meningkatkan kesedaran mereka.

Beliau berkata, lebih membimbangkan laporan sesi khas perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGASS) Deklarasi Komitmen mengenai AIDS menyatakan sembilan rakyat negara ini dijangkiti penyakit tersebut setiap hari.

Juga membimbangkan penularan pada kalangan wanita semakin meningkat iaitu daripada 9.5 peratus pada 2000 kepada 20 peratus pada tahun lepas, katanya ketika berucap pada majlis Hari Memperingati AIDS Sedunia 2010 peringkat kebangsaan, di Kuala Terengganu malam semalam.

Beliau berkata, pada tahun 2000 punca utama jangkitan pada kalangan wanita adalah penagihan dadah, namun sejak kebelakangan ini jangkitan menerusi hubungan seks heteroseksual meningkat kepada hampir 30 peratus.

Perkara itu berlaku disebabkan kurangnya keprihatinan dan kerjasama daripada masyarakat untuk melindungi wanita daripada dijangkiti, katanya.

Mengulas mengenai jangkitan di Terengganu, beliau berkata sebanyak 315 kes baru dilaporkan pada tahun lepas.

Angka itu meletakkan Terengganu di tempat keempat tertinggi selepas Kelantan (596), Pahang (431) dan Selangor (378).

Sumber; Bernama (9 Jun 2010)

Membangun Sebuah RAUDHAH

18 Mei 2010 at 03:37 | Dikirim dalam Uncategorized | Tinggalkan komen
Label: ,

“Tiada beban batu digalas”… “Menanggung biawak hidup”…

Itulah seolah-olahnya makna senyuman yang tertempa diwajah mereka pada kerja yang dibuat ini walau tidak mengeluarkan suaa. Sebenarnya… saya atau kami juga berperasaan begitu.

Namun, berikan kami satu cara lain yang mampu kita perbuat bagi mengatasi kebejatan sosial yang makin mengganas. Sepertinya ombak tsunami yang menghempas, begitulah terasanya fenomena kegawatan sosial dan budaya yang menimpa kita pada hari ini.

10 tahun yang dilalui bagi saya secara peribadi, dan mungkin lebih singkat atau lebih panjang lagi pada beberapa teman terdekat telah memberi satu pengajaran besar buat kami – bahawa barah ini makin parah dan pihak wewenang mahupun pelbagai pihak lain telah membiarkan penyakit sosial ini terus mekar seterusnya meruntuhkan masyarakat. Bahasa mudahnya … masalah ini makin kronik, semakin teruk, seolah-olah sudah tiada jalan kembali.

Mata kami bulat apabila melihat kegawatan sosial ini dan mengklasifikasikan kebejatan ini pada 5 kategori utama samada ialah:

1. Penggunaan bahan berbahaya, ketagihan dan toksik – sepertinya koka, ganja, syabu, ice, cocktail, chasing the dragon, ubat batuk, gam mahupun arak;

2. Zina dan pergaulan bebas – termasuk seks bebas, pergaulan bebas, khalwat, mengandung tanpa nikah, pelacuran, bohsia, belen, pronographi, rogol, berpakaian mendedahkan, gay, lesbian, ladyman, sumbang mahram, liwat, dan sepertinya;

3. Subkultur dan budaya bebas – blackmetal, gothic, punk, rempit, skin head, hedonisma, parti seks, dan seangkatannya;

4. Jenayah dan Juvana – merompak, merogol, bunuh, bunuh diri, lari dari rumah, kongsi gelap, apache sereng, vandalism, keganasan dan sewaktu denganya serta

5. Kegawatan aqidah – murtad dan kesesatan aqidah.

Punca; Ini soalan yang berungkai-rungkai jawapannya. Mudahnya saya simpulkan, kita hidup dalam sistem yang rosak dan merosakkan.

Tidak perlu lagi sebenarnya untuk kita turun jauh dalam lorong-lorong hitam, apartmen kosong dan bawah jambatan untuk melihat fenomena ini. Ia ada di tempat kita beriadah, membeli belah, di rumah saudara dan jiran kita, di tepi jalan, di dalam kelas, di dalam handphone dan komputer anak kita mahupun di dalam rumah kita sendiri.

Sepuluh tahun dahulu, mencari kebejatan sosial sepertinya ghost buster mencari sang hantu. Hari ini, tiada hari yang kita tidak ditampilkan dengan pengajaran-pengajaran kesan dari kegawatan sosial ini. Seorang anak yang menendang emaknya untuk duit membeli syabu, seorang ibu yang terpaksa membuat laporan polis untuk kes rogol apabila anaknya seorang belen (istilah utara) @ bohsia (istilah klasik) terlajak memakai 6 teman lelaki dalam satu masa, seorang bayi yang dijual pada lelaki berlainan agama untuk duit RM3,000 untuk merasa lebih berharga kerterlanjuran yang dilakukannya bersama entah siapa, pemuda-pemuda yang kencing dan menginjak-nginjak al -Quran bagi memaknakan pengabdian mereka pada si Iblis, mahupun keiblisan seorang bapak yang menuntut kegadisan anaknya setiap kali anaknya mahu wang untuk sekolah, serta seorang anak gadis yang kehilangan punca setelah bertahun menjadi dagangan di belakang lorong berdekatan balai polis di Bukit Bintang.

Malangnya semua cerita ini bukan rekaan.

Allah tidak mengkehendaki dunia ini suram sebegini… kitalah yang sepatutnya mencorakkan wajah kelam kelabu dunia kepada warna hijau, biru dan pelangi yang sepatutnya bersinar.

Masyarakat yang hanyut dalam arus keduniaan – Wahanisma

Telah saya bicarakan bahawa kita hidup dalam sistem yang rosak. Cara hidup, budaya dan agama moden yang kita terima pakai adalah semata-mata untuk kecantikan, kegembiraan dan kepuasaan yang nampak dan sementara; kini dan sekarang.

Kita berkejaran untuk memiliki dunia dalam pelbagai bentuk keindahannya. Kemewahan kekayaan, lambakan wang ringgit, menjadi mimpi dan igauan siang dan malam kita. Kepuasan yang kita tuntut dengan cuba memiliki semua kemewahan; kereta, rumah, pakaian bergemerlapan, telefon tangan tercanggih, elektronik media (komputer riba, TV satelit) hingga pada perhiasan badan pada jam, tali pinggang, emas berlian dan sebagainya. Sang kaya terus hanyut dalam kegilaan kemewahan, dan sang papa juga berpenat lelah untuk berlagak dan berlakon untuk juga jadi kaya dan mewah. Sang papa kadangkala sanggup menjual harga pendidikan anak untuk membayar langganan TV satelit bulanan.

Kegilaan untuk terus memiliki semua yang ada di dunia memerlukan manusia diperdaya untuk merasa bahawa kemanisan madu dunia ini harus dihirup sepuas-puasnya. Alat-alat peperangan untuk memperdaya manusia untuk merasa dunia ini harus dimiliki seluruhnya dipersiapkan – maka lahirlah pelbagai bentuk iklan, lakonan, artis, fesyen, lagu, dan hiburan dan pelbagai bentuk kelekaan (hiburan) lagi yang terus menghanyutkan manusia dalam alam kegembiraan sementara yang melalaikan. Maka kelalaian dan lupa diri ini menyebabkan keinginan manusia bertambah untuk lebih seronok, lebih gila dan merasa tiada kepuasan yang memuaskan.

Ketika ini manusia melangkah masuk ke dunia yang diluar batasan ciptaan Allah iaitu agamanya; Deenul Islam yang menjamin manusia merasa cukup sekadarnya dengan nikmat dunia. Manusia tidak merasa cukup dengan dunia; lalu memilih untuk tergolong dalam kelompok manusia diluar batasan sosial dan memilih seks bebas/zina, dadah, arak, judi, jenayah dan kesesatan aqidah sebagai pilihan. Cinta pada dunia ini bukan hanya satu trend dan insiden sementara, namun telah tersebati dalam budaya masyarakat dan tidak salah sama sekali untuk ia disamakan sebagai satu agama baru dalam masyarakat moden hari ini. Masyarakat yang rosak dan merosakkan.

Masyarakat yang pekak, bisu dan buta

Adat insan itu adalah makhluk yang sering lupa. Maka kelupaan itu harus disedarkan. Mayarakat yang berilmu akan memlih jalan yang benar dengan panduan (agama) Allah. Namun, sekali lagi badai kecintaan dunia ini melanda umat manusia. Mereka dilalaikan dengan kesibukan untuk memiliki dunia lalu tidak hentang lagi untuk mencari dan memiliki kebenaran ilmu dalam mencari makna diri dan tujuan kehidupan, lantas memilih untuk terus dilalaikan. Masyarakat ini juga telah hilang rasa untuk memperbetulkan diri mereka apatah lagi orang lain untuk mengajak sesama manusia kepada jalan kebaikan dan kesejahteraan dan menjauhkan diri atau keluar dari kejahilan, kelalaian dan kerosakan (fasad dan mungkar).

Mereka sibuk dan lalai memenuhi keperluan keseronokan dan kepuasaan peribadi dan merasakan kerosakan yang berlaku di keliling mereka bukan hal mereka. Bahkan yang memiliki ilmu dan kedudukan sekali menjadikan ilmu dan kedudukan itu sendiri, yang sepatutnya menjadi satu amanah sebagai batu loncatan untuk memiliki lebih banyak dari dunia ini. Mereka tidak sedar kelakuan mereka ini akan membenihkan kerosakan yang lebih besar dalam masyarakat mereka lantas membentuk satu gunung kebobrokan sosial yang akhirnya bakal membenamkan orang yang mereka sayangi malahan diri mereka sendiri. Masyarakat ini telah menjadi pekak, bisu dan buta.

Puas sudah didengari, seolah-olah saya menyalahkan orang lain untuk semua masalah ini, sedang saya dan kita ini sendiri adalah sebahagian masalah tersebut. Saya dan teman-teman sedar, manusia kerdil tidak mampu menahan Tsunami kebangkrapan Sosial ini. Tembok-tembok yang dibina manusia kerdil tidak mampu menahan ombak yang saban waktu berkunjung apatah lagi sebuah Tsunami. Hanya sanya yang mampu menjadi tembok sebenar malahan mensuci kekotoran dan memurnikan kerosakan adalah pohon-pohon ditepian lautan yang bilamana ia ditanam kembali satu persatu, dan dibiar ia tumbuh mekar merimbun akan mampu bertahan bila ribut dan sang Tsunami melanda, malahan akan melahirkan anak-anak ikan dan udang yang bakal memberi manfaat pada lautan dan daratan. Indah sungguh kitab alam ciptaan Tuhan. Punya Ibrah untuk ditempa.

Permulaan semua ini adalah dengan satu kesedaran yang difahami dengan sebenar-benarnya.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” [13:11]

Derita umat dan kegawatan ini harus ditelaah dengan kita sendiri harus terjun untuk mengambil ibrah (pengajaran) dan memahami lenggok seni musuh yang merosakkan ini agar satu perancangan (makar) peperangan terhadap gejala sosial mampu dipersiapkan. Kefahaman pada derita ini hendaknya membina satu keinsafan, penghayatan dan kesedaran. Keinsafan dan kesedaran hanya menjadi kekecewaan dan kepasrahan andai tidak dilengkapkan dengan tindakan dan usaha-usaha perubahan yang strategis (seperti saf yang tersusun kukuh) dan berterusan (istiqomah).

Ibrah ini, bersama tahun demi tahun kegagalan, mempersiapkan kita membangun satu makhroja, moga ianya dipandu oleh hidayah dan petunjuk Allah.

Membina sebuah LANDAS

Program sosial ini diawali dengan Latihan Aktivis Dakwah dalam Isu Sosial (LANDAS). LANDAS adalah sebuah program latihan berfasa (3 fasa modul dipersiap untuk tahun 2009M/1430H) yang membawa para aktivis dakwah, arkitek perubahan dan alim ulamak untuk turun lapangan untuk memahami status kegawatan sosial secara terus (first hand encounter).

Program ini disulami dengan latihan seni dakwah yang mengkehendaki para pelatih mendekati kumpulan bermasalah secara langsung. Kemampuan Daie mendekati (hemoi – istilah utara) dan memahami kumpulan bermasalah, menghulurkan kelembutan dakwah untuk memberi harapan dan hidayah adalah satu latihan intensif yang memerlukan kemahiran komunikasi, psikologi, emosi dan spiritual yang harus rancak berpencak dalam satu waktu yang singkat.

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”[16:125]

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari ayat 125, Surah An Nahl, bahawa garis besar para penda’wah dapat dibahagikan kepada tiga golongan dan dihadapai dengan kaedah yang berbeza:

Golongan intelektual yang cintakan kebenaran dan dapat berfikir secara kritis, cepat dapat menangkap mesej da’wah dengan kekuatan akal fikiran dengan dalil dan hujah-hujah yang diyakinkan. Mereka ini harus didekati dengan cara hikmah الحكمة))

Golongan awam dan orang kebanyakkan yang belum dapat berfikir secara kritis, belum dapat menerima pengertian yang tinggi-tinggi dan mendalam. Perlu memberikan pendekatan dan pendidikan dengan ajaran yang mudah difahami denga cara mau’izatun hasanah.( الموعظة الحسنة)

Golongan yang mempunyai tingkatan kecerdasan di antara hikmah dan mau’izatun hasanah. Mereka ini perlu kepada pendekatan mujadalah billati hiya ahsan, (المجادلة بالتى هى أحسن ) dengan bertukar-tukar fikiran secara sihat dan layanan cara yang baik-baik.

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dalam kalimat:

خاطبواالناس على قدر عقولهم

“Bicaralah kepada manusia mengikut kadar kecerdasan akal mereka itu”

Sabda Nabi s.a.w. :

أمرنا أن نكلم الناس على قدر عقولهم

“Kami diperintahkan, supaya berbicara kepada manusia menurut kadar kecerdasan akal mereka masing-masing”

Landas dalam waktu yang sama menjadi sebahagian dari proses pemetaan isu sosial dalam komuniti dan tidak kurang menjadi medan advokasi dan pendidikan menggunakan suara media.

Aktivis LANDAS, bergraduasi dari latihan lapangan ini seperti perkumpulan burung-burung CAMAR (Perkumpulan Cakna Amar Ma’aruf Nahi Mungkar) yang akan menebarkan kesejahteraan sepanjang perjalanan mereka dan setia memerhati agar kemungkaran tidak berlaku di bumi Allah ini (Skuad CAMAR).

Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berda’wah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.” (Ali Imran 104)

Maksudnya: ”Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka; orang-orang Yang fasik.” (Ali Imran 110)

UNGGAS mengepakkan sayapnya

Latihan dilapangan tidak mencukupi tanpa perlaksanaan solusi yang tuntas dilapangan sendiri. RAUDHAH dan teman-teman sepanjang 2 tahun ini telah cuba membangunkan sebuah Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) yang pada awalnya mendapat dokongan setidak-tidaknya moral dari sebuah kerajaan negeri di utara semenanjung. Walaupun hingga kini komitmen pada dokongan ini masih tidak dapat direalisasikan namun RAUDHAH telah berjaya membangun satu konsep perlaksanaan bagi sekretariat UNGGAS yang menunggu masa untuk terlaksana.

UNGGAS pada asasnya adalah sebuah pusat penyelarasan kerja atau sekretariat yang mampu menguruskan semua gerakerja aktivis isu sosial ini. Kerja dakwah dan lapangan tidak akan memberi implikasi mendalam tanpa kajian akar umbi dan yang mampu menjadi rujukan kepada pembangunan kelangsungan dakwah masa depan. Dakwah dan kerja perubahan sosial harus dapat dipeta dan dipandu oleh bukti dan data yang sahih dan kukuh dari lapangan. Maka sektor “penyelidikan dan pembangunan” (research and development) dilapangan adalah sektor terpenting dalam gerakerja UNGGAS.

Bukti dan data ini seterusnya digunakan dalam pembangunan dan pemantapan polisi berkait dengan isu-isu sosial. Ia juga akan berkait rapat dengan usaha-usaha menggerakkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada atau pembaikan kelompongan pada undang-undang yang sedia ada.

Usaha pendidikan massa, advokasi polis, penyeledikan dan pembangunan tidak mampu berlangsung tanpa tenga kerja yang cukup. Isu yang berlaku secara merata dan menyeluruh dari ceruk kampung ke tengah hiruk pikuk metropolitan memerlukan lebih banyak CAMAR dilahirkan. UNGGAS boleh memainkan peranan sebagai pusat latihan dan pembangunan untuk tujuan ini.

Melihat pada spektrum dan kepelbagaian kelompok bermasalah dan menyedari keperluan bahawa insan-insan bermasalah ini ada di antara mereka tidak mampu mengikuti program pemulihan berterusan dan dakwah kaki lima yang berlangsung dalam waktu yang singkat, sukar membawa perubahan yang berkekalan. Ini termasuk masalah individu berkeluarga dan berkerjaya yang terjebak dalam gejala sosial dan memerlukan pertolongan. Sayugia itu sebuah program kaunseling percuma diatur dengan iaitu Kaunseling Kasih Ar Rahim (KEKASIH). Model program ini sedang berjalan secara terbatas di Serambi Dakwah, PUM PP Pulau Pinang.

Terakhirnya UNGGAS tidak mampu tidur lena jika ia sendiri gagal menjadi solusi di lapangan. Pelbagai inisiatif yang digerakkan sebelum ini tidak mampu direalisasikan secara berpanjangan dengan penubuhan pelbagai perkumpulan remaja bagi mengisi masa mereka secara berkesan dari membuang masa secara sia-sia dan sebagai ruang pemulihan dalam komuniti. Inisiatif ini bukan baru namun adalah kelanjutan kepada usaha-usaha yang pernah dilaksanakan sebelum ini antaranya; Ikatan Remaja Merdeka (IRAMA), Ikatan Remaja Muslim (IKRAM), Ikatan Perkumpulan Pelajar Pewaris harapan (IMPIAN), Aktivis Remaja Alam Sekitar (ARAS) dan sebagainya. Model-model dari sahabat-sahabat gerakan seperti Embun Hidayah, Kelab Remaja JIM (KRJ) dan lain-lain.

Mencari kasih dan harapan di RAUDHAH

Program besar Dakwah Sosial ini adalah pembinaan sebuah rumah transit dan pemulihan kumpulan bermasalah yang dinamakan sebagai RAUDHAH. RAUDHAH atau Rumah Upayadaya dan Harapan al Rahman membawa konsep Uzlah (pengasingan) dan Tazkiyah (Penyucian) bagi usaha pemulihan kumpulan kritikal bermasalah (hardcore social problematic groups) ini. 10 tahun selepas merasa cukup keterbatasan menggerakkan perubahan individu bermasalah ini, RAUDHAH mejadi satu sinar (نور) kepada kami dan moganya menjadi nur kepada mereka yang lain.

RAUDHAH ketika ini hanya dikhususkan kepada indvidu bermasalah kritikal sahaja dan dalam tempoh ini hanya mengendalikan kumpulan wanita. RAUDHAH akur dengan limitasi yang ada dan sehingga tarikh ini (Rabiul Awal 1430H) tidak menerima kumpulan yang terlibat dengan ketagihan dadah.

Program ini berteruskan konsep al fahmu (kefahaman) dalam pembangunan ilmu dan iman, dengan penekanan kepada faham aqidah dalam semua aspek kehidupan. RAUDHAH adalah harapan kepada mereka yang ingin mencari jalan pulang kepada kasihNYA.

56. Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). Al Qasas : 56

Kepada saudara-saudariku yang belum memahami apa yang ku bicarakan ini – lamaran ini ku sampaikan kepada saudara-saudari lain agar mahu berjejak turun ke sawah bendang, hutan belukar dan lautan luas fenomena kebobrokan sosial yang melanda anak-anak, adik-adik dan saudara kita saat ini.

Mengeluh, tidak membawa erti …

Hanya Berbicara, tidak membawa perubahan …

Kalau tidak kita? Siapa lagi ?

Kalau tidak sekarang? Bila lagi ?

Kalau tidak disini? Di mana lagi ?

Kepada saudara-saudariku yang pernah tersentuh dan terasa bau busuk tegar alkohol yang tersembur keluar dari mulut adik-adik dan saudara kita tatkala kita memeluk rapatnya penuh doa, atau ketika air mata taubat itu mula menggenangi mata-mata hitam, biru dan koko yang meminta-minta kita menyatakannya bahawa dia masih punya harapan, atau ketika air mata kita menitis sayu melihat wajah dihadapan kita yang khayal, pucat lesi, dan kebingungan, sambil air-air mata itu mendoakan pada adik dan saudara/i ku ini bahawa – masih ada jalan pulang.

Pada saudara-saudariku ini, ingin ku sedarkan kamu bahawa kamu sedang berada dalam satu fenomena baru yang sedang bangun dengan hajat besar menenggelamkan Tsunami kebangkrapan sosial sedalam-dalamnya.

Kebangunan ini hanya mampu berhasil apabila putus asa tiada dalam kamus kita, meyakini bahawa hanya sanya Allah pemilik Hidayah, bahawa mujahadah itu adalah nafas kami, dan bersama, mengatur saf secara teratur dan menolak perpecahan dan dengan sabar dan keyakinan kebangunan ini harus dibina secara satu agar ia mampu tegar dan istiqomah. Inginku peringati saudaraku untuk memahami bahawa langkah-langkah ini perlu diatur sepertimana kita sedang membina sebuah kota untuk bertahan berabad lamanya maka harusnya batu-batunya ini diatur, satu demi satu dengan seni dan tersusun kerana jika tidak ia hanya akan bertahun hanya semusim lamanya.

272. tidaklah Engkau Diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah Yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). dan apa jua harta Yang halal Yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua Yang kamu dermakan dari harta Yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. Al Baqarah :

Semoga Allah bersama kita dalam membina jalan-jalan pulang, kembali kepada KeredhaaNYA.

Abu Saif al Mahshari

12 Rabiulawwal 1430H

Apa nilai 0.05 sen kepada anda??

17 Mei 2010 at 09:33 | Dikirim dalam Artikel | Tinggalkan komen

MUKADDIMAH

Adakah RM 0.05 bernilai untuk anda?? Ya atau tidak?? Sekiranya jawapan anda Ya, anda mmg bijak menghargai rezeki kurniaan Allah, nilai matawang, prinsip diri dan kehidupan anda. Jika jawapan adalah tidak, sesungguhnya anda harus mulai belajar apa yang dikatakan ‘nilai’ dalam kehidupan anda biarpun anda menyatakan sebaliknya..

Ya, bunyinya seakan RM 0.05 tiada nilainya..dikotak pemikiran kita…apalah yang mampu kita beli dengan nilai sekecil itu? Rata-rata insan / manusia kini pastinya tidak langsung mempedulikan ‘hak’ RM 0.05 yang pada kiraan mereka ianya langsung tidak memberi apa-apa perubahan pada ‘status’ kehidupan mereka..ahhhh…biarkan aja jika ada peniaga yang tidak memulangkan baki RM 0.05 itu..bukan boleh diguna untuk masuk ke ‘toilet’ yang minimanya sekarang RM 0.20 atau RM 0.30. nah..lihat situasi ini..apa kata anda???

PERISTIWA

Situasi 1
Anda ke kedai makanan segera (KFC, McD, Secret Recipe atau Pizza Hut) dan membeli makanan. Kebetulan harga yang dibeli adalah RM 14.75 sen setelah dicampur dengan cukai perkhidamatan 5% atas harga asal makanan. Dihulurkan wang RM 15.00 kepada si cantik dikaunter. Lantas terus dipulangkan baki wang RM 0.20 kepada anda…apa reaksi anda???

Situasi 2
Anda memandu kenderaan di Lebuhraya PLUS dan menggunakan kad ‘touch and go’ yang nilainya hanya tinggal RM 10.35 (nilainya sebegitu mungkin sebelum ini digunakan ditempat lain serta mungkin diberikan diskaun) untuk jarak perjalanan daripada Juru ke Ipoh yang harga sebenar tiket adalah lebih kurang RM 16.80. Apabila tiba dikaunter keluar, nlai semasa touch&go yang tidak mencukupi menghendaki anda membayar tambahan RM 6.45 sen menggunakan tunai. Setelah dihulur RM 7.00 kepada penjaga kaunter tol, tanpa ucapan apa-apa anda diberikan kembali RM 0.50 sedangkan nilai sebenar yang patut diberikan adalah RM 0.55…. Apa reaksi anda??

Situasi 3
Anda menaiki motosikal dan berhenti di stesen minyak untuk mengisi kembali kekosongan tangki. Setelah diisi penuh, ternyata jumlah yang perlu dibayar adalah RM 7.24 dan dibundarkan kepada RM 7.25. Namun yang menjaga pam hanya memulangkan RM 2.70 daripada RM 10.00 yang dibayar. Sepatutnya harus memulangkan RM 2.75 kembali namun itu tidak berlaku..Apa reaksi anda??

Situasi 4
Anda membeli belah di satu tempat / gedung jualan murah yang memberikan diskaun atau potongan 30% hingga 70% bagi barangan disitu. Setelah pakaian atau barangan yang menjadi pilihan dipilih, anda seterusnya ke kaunter untuk membayar dan kebetulan harganya selepas diskaun ialah RM 29.53. Setelah dibundarkan kepada RM 29.55 (atas arahan Bank Negara sepertimana digunakan sekarang), baki yang dipulangkan kepada anda ialah RM 0.40 iaitu terkurang 0.05 sen atas alasan tiada duit kecil RM 0.05 untuk dipulangkan oleh gedung tersebut..Apa reaksi anda??

PERSOALANNYA

Situasi diatas cukup memberi gambaran tentang keadaan urusniaga di Malaysia sekarang yang mungkin pernah anda alami atau mungkin bakal anda alami..persoalannya sama …apa reaksi anda jika ianya berlaku pada diri anda??

Membiarkan atau menegakkan hak??

Ramai (bukan semua) mungkin hanya mendiamkan diri tatkala situasi tersebut dialami dengan alasan yang saya nyatakan diatas..alaaa, RM 0.05 sen bukannya boleh dibuat apa pun…bukan boleh memberi makna dan nilai pun…bukan boleh buat makan mee pun..Ya, anda mmg betul..tapi jawapan itu hanyasanya untuk anda..

Bayangkan jika 2000 pengguna kenderaan di lebuhraya mengalami situasi sedemikian sehari. Berapa nilainya keuntungan ‘atas angin’ yang diperolehi syarikat dalam tempoh sehari? RM 100..itu jika hanya 2000 pengguna mengalaminya..jika lebih?? Bayangkan pula untuk setahun jika 2000 pengguna x 30 hari 12 bulan x RM 0.05?? Angka sundah meningkat kepada RM 36,000 tanpa kita sedar….

Bayangkan pula di kedai makanan segera seperti dinyatakan ai atas yang rata-rata pengguna melebihi 3000 orang sehari diseluruh negara?? Setahun sudah membina keuntungan RM 54,000 tidak termasuk cukai perkhidmatan yang juga dibayar oleh kita yang mengunjunginya…

Nah, bayangkan juga, berapa kenderaan yang mengisi minyak setiap hari??…Banyak bukan?? Keuntungan syarikat minyak diwartakan berbillion-billion setahun… berapa pula keuntungan ‘atas angin’ yang dicipta mereka kerana sikap kita?? Sudahlah petroleum dinamakan emas hitam kerana begitu bernilai, namun kita langsung tidak meminta kembali wang RM 0.05 tadi hanya kerana sikap yang tidak endah, malu tidak bertempat atau mungkin merasakan nilai RM 0.05 tadi tidak mungkin merubah rezeki kita sedia ada..tapi bagaimana jika nilai itu boleh merubah orang miskin atau rumah ibadat (masjid) kita??

Bayangkan pula gedung pakaian atau barangan tadi jika tiba musim ‘perayaan’ yang terlalu banyak di Malaysia atau Karnival Mega Membeli Belah….bayangkan duit kita yang nilainya sekecil RM 0.05 sudah berlipat ganda nilainya tanpa kita sedari…yang lebih parah, ianya ‘dicuri’ didepan mata…

PENCURI ATAU PENIAGA

Ya ‘dicuri’..kenapa saya katakan demikian?? Cuba selidiki situasi 1 hingga 3, dimana tiada satu patah perkataan yang keluar dari mulut wakil ‘korporat’ untuk memohon / menyatakan agar RM 0.05 tadi tidak dikembalikan. Sudahlah cukai perkhidmatan dikenakan, duit kita pula dicuri didepan mata (ini bukan persolaan siapa suruh kita pergi makan dekat sana atau siapa suruh guna lebuhraya). ‘Mereka’ hanya membisu dengan muka selamba tanpa ‘rasa bersalah’ ..bukankah itu ‘pencuri terhormat’?? Maaf jika andaian atau kata2 ini agak keterlaluan, namun hakikatnya dalam urusan jual beli, harus ada akad atau persetujuan. Mana mungkin perbezaan sekecil itu berlaku tanpa redha pembayar jika peniaga / penjual dengan lemah lembut mengatakan bahawa tiada wang kecil dalam simpanan mereka…namun jika mereka berkata demikian, itu juga salah…

Ya salah..kerana tidak mungkin syarikat sebesar itu (situasi 1-4) tidak mampu menyediakan wang sekecil RM 0.05..tidak mampu atau tidak mahu?? Bunyinya seakan tapi tidak sama maksudnya…Bukan untuk bersangka buruk cuma melontarkan persoalan…kenapa begitu sukar menyediakan nilai sekecil itu?? Adakah sudah biasa dengan nilai besar sehingga nilai kecil dilupakan??

JANGAN MEMBISU DAN JANGAN PULA MENJADI PEKAK

Nah…apa tugas / peranan kita sekarang…?? Kita juga sebenarnya menyumbang kepada perkara tersebut dengan menjadi ‘bisu’ kepada perlakuan itu selama ini…ramai (tidak semua) yang mungkin situasinya adalah sama..membiarkan ‘pencurian’ itu berlaku tanpa berkata apa-apa…dan di pihak syarikat korporat pulak, jangan memekak telinga memandang sinis perkara ini seolah-olah pengguna meredhainya…

Apa salahnya jika sedikit sumbangan sosial dilakukan kembali dengan memberikan pulangan lebih sebanyak RM 0.05 kepada pengguna (jika benar tiada duit kecil dalam simpanan ketika itu) daripada ‘menelan’ RM 0.05 tadi…mungkin lebih berkat perniagaannya…siapa tahu bukan???

CADANGAN LAIN

Andai anda masih merasakan bahwa nilai RM 0.05 tadi tidak mungkin mengubah rezeki, kehidupan atau perbelanjaan anda, maka saya ingin mencadangkan agar anda membantu mengubah hidup orang lain…bayangkan apa yang boleh kita buat dengan nilai tahunan RM 36,000 atau RM 54,000 tadi?? Tentukan nilai sebesar itu boleh kita sumbangkan kepada rumah anak yatim atau rumah pemulihan akhlak remaja / wanita atau mana-mana masjid jika sedikit ‘suara’ dikeluarkan untuk memohon kembali wang kecil RM 0.05 tersebut daripada ‘pencuri terhormat’…

Anda bukan sahaja boleh membantu orang lain meneruskan kehidupan, namun turut memberi peluang kepada diri sendiri untuk bersedekah yang ganjarannya amat mulia disisi Allah…daripada membiarkan keuntungan atas angin dicipta oleh ‘korporat’ yang tidak tahu ke mana pelaburan seterusnya, baik memberikan nilai itu untuk pelaburan kepada suatu kebaikan..

Sekian….
BERSAMA MENUJU REDHANYA…

-MAMR-
14 Mei 2010

p/s:- Bagi anda yang masih ada sisa wang untuk diberikan, berikut adalah antara rumah anak yatim atau pusat pemulihan wanita yang boleh anda sumbangkan demi pembangunan anak-anak orang Islam secara seluruhnya…

Ar Rahim

19 April 2010 at 08:01 | Dikirim dalam Renungan | Tinggalkan komen

“Kabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku, bahwa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(QS. al Hijr: 49)

Pertama kali, Allah memperkenalkan diri-Nya dalam sejarah manusia dengan dua sifat yang menakjubkan. Dalam wahyu pertama, Allah menyebutnya sebagai Tuhan atas segala ciptaan. Lalu, Allah mengajarkan ilmu pada manusia, dengan cara yang begitu mulia, membaca. Kemudian sekali lagi Allah mengabarkan tentang sifatnya, akram, Yang Maha Mulia.

Satu dari sifat-Nya yang mulia, lahir dari nama-Nya. Ar Rahim, Maha Penyayang. Dalam al Qur’an, Allah mengulangi kata ar Rahim sebanyak 228, jauh lebih banyak dari asma Allah, ar Rahman yang “hanya” 171.

Beberapa mufassir, menerjemahkan perbedaan antara kata ar Rahman dan ar Rahim. Jika kata yang pertama, sifatnya berlaku untuk seluruh manusia, maka kata yang kedua disebutkan, hanya berlaku pada situasi khusus dan untuk kaum tertentu semata. Namun menariknya, di sini jumlah yang umum jauh lebih sedikit dari jumlah yang khusus. Artinya, dengan rahim-Nya, Allah teramat menyintai umat dan kaum yang mulia, manusia-manusia Muslim yang beriman. Dilimpahkan begitu banyak kemuliaan.

Tempat tumbuh dan berkembangnya janin juga disebut rahim. Di rahim bermulanya kehidupan. Di rahim dijaga kehidupan ideal seorang manusia. Di rahim, setiap manusia dilantik apa dan kemana tujuan hidupnya. Dan ketika bayi dilahirkan, ia menangis demikian rupa, meninggalkan rahim yang melimpah kasih sayang dan rasa aman.

Begitu pula Allah. Di dalam sifat Rahim-Nya, manusia akan hidup dengan aman, nyaman, penuh kemuliaan, sentosa dan pebuh keberkahaan. Maka, sebutlah nama-nama Tuhanmu, dalam setiap awal doa dan permintaan.

Mereka yang selalu membasahi bibirnya dengan kata sederhana, ar Rahim, maka Sang Pemilik Nama, akan selalu menjaganya dengan segenap kasih sayang-Nya. Mereka yang selalu menghiasai hatinya dengan kata sederhana, ar Rahim, maka Allah akan menghiasainya pula dengan kasih sayang yang tak berbatas ruang dan tak dikekang waktu. Dan siapa saja yang disayangi Allah, maka tak satupun makhluk di dunia memiliki alasan untuk membencinya. Kecuali mereka yang telah dikuasai nafsu angkara.

Bacalah ar Rahim, dan temukan dunia yang penuh kasih sayang. Hati kita akan lebih mudah menyanyangi. Dan kehidupan, insya Allah akan lebih baik lagi.

(Herry Nurdi-Editor Sabili)

Mengenal Tipu Daya Dunia

12 April 2010 at 05:20 | Dikirim dalam Renungan | Tinggalkan komen
Label:

Al Ankabut; 64


“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahui.”

Golongan yang bergelumang dengan maksiat serta fasiq adalah mereka yang terpedaya dengan perbuatan mereka sendiri. Sebahagian daripada mereka tidak berasa bimbang dengan kemungkaran yang dilakukan kerana menganggap ALLAH Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang mengampuni kesalahan mereka. Apabila mereka mendapat laba serta keuntungan daripada kemungkaran itu, mereka mentafsirkannya sebagai keredaan ALLAH kerana bagi mereka keuntungan duniawi berkait rapat dengan keredaan Ilahi. Sebenarnya, nabi Muhammad menganggap golongan seperti ini sebagai golongan yang kurang bijak.

“Yang pintar ialah mereka yang mengawal hawa nafsunya dan beramal sebagai persiapan untuk mati, yang bodoh ialah mereka yang mengikut hawa nafsunya kemudian berangan-angan baik terhadap ALLAH.”

Riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah.

Dunia berjaya memperdayakan ramai orang sehingga mereka menganggapnya sebagai destinasi terakhir dan kesengan yang ada di dalamnya sebagai syurga yang hakiki. Sedangkan dunia hari ini dipenuhi dengan pelbagai tipu daya. Justeru, ramai yang tertipu dengannya dan menganggapnya sebagai tempat bersuka ria sampai bila-bila.


Imam Ghazali mengumpamakan dunia sebagai suatu pelabuhan. Semasa di pelabuhan, anak-anak kapal diizinkan turun seketika bagi mengambil bekalan sebelum meneruskan pelayaran. Orang yang cerdik mengambil bekalan secukupnya bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan dalam perjalanan. Sebaliknya, orang yang berfikiran sempit terus leka dan lalai dengan hiburan dan keseronokan di Bandar sehingga lupa bekalan yang diperlukan. Akhirnya, orang yang leka ditinggalkan dan pada masa itu baru mereka menjadi kelam kabut dan tenggelam punca hasil perbuatan mereka sendiri.

Ali Imran; 185

“Kehidupan dunia ini tidak lain melaikan kesenangan yang memperdayakan,”

Laman Berikutnya »

Blog di WordPress.com.
Entries dan komen feeds.